Wednesday, June 3, 2009

RM10,000, naik pangkat ganjaran banteras rasuah

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan memberi ganjaran tertentu terhadap kakitangannya yang memberi maklumat berkaitan anasir rasuah di negeri ini. Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kakitangan yang sukarela membuat demikian akan diberi ganjaran berbentuk peluang kenaikan pangkat dan wang tunai RM10,000. Beliau berkata, ganjaran melalui Anugerah Integriti itu yang pertama kali diadakan itu, terbuka kepada semua kakitangan kerajaan yang membantu membanteras gejala rasuah.
"Pegawai kerajaan yang mendedahkan salah laku atau penyelewengan hingga menjejaskan kewangan dan sumber kerajaan negeri, layak menerima ganjaran itu. "Ini sebagai galakan kepada kakitangan kerajaan untuk membanteras rasuah sekali gus tidak terbabit dalam gejala itu," katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata demikian pada majlis angkat sumpah Farizan Ddarus sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baru di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, semalam.

Pelantikan Farizan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Supiah Md Yusoff yang berpindah ke Unit Perancangan Ekonomi di Putrajaya, Selangor. Guan Eng berkata, kerajaan negeri mahu semua kakitangan kerajaan turut berganding bahu dalam membanteras atau sekurang-kurangnya mengurangkan gejala rasuah. Katanya, penganugerahan itu bukan bertujuan menambah beban dan memberi tekanan kepada kakitangan kerajaan tapi sebagai inisiatif bagi membendung gejala berkenaan. Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan semua maklumat peribadi termasuk identiti pemberi maklumat itu akan dilindungi sepenuhnya.
"Semua kriteria berkaitan penganugerahan dan ganjaran itu akan ditentukan oleh Farizan, tidak lama lagi," katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN